Mengenang Kembali Kejatuhan Kerajaan Melayu di Nusantara
Salah satu wilayah yang diakui sebagai wilayah bagi etnik Melayu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah semenanjung ialah Sumatera Timur. Di wilayah ini, terdapat empat buah Kerajaan Melayu utama yang pernah wujud, iaitu Kesultanan Langkat Darul Aman, Kesultanan Deli Darul Maimon, Kesultanan Serdang Darul Arif, dan Kesultanan Asahan. Bukti hubungan rapat antara Sumatera Timur dengan tanah semenanjung adalah apabila dialek yang digunakan di sini adalah lebih mirip dialek yang digunakan di tanah semenanjung. Malahan, para Kerabat Diraja Melayu Sumatera Timur pada masa dahulu sering melangsungkan perkahwinan dengan Kerabat Diraja Melayu di negeri-negeri di semenanjung.
Peta wilayah Kesultanan-kesultanan Melayu di Sumatera Timur
Selepas perang dunia ke-2, Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur ini muncul sebagai wilayah yang kaya dan makmur hasil daripada perkembangan sektor perladangan. Perkara ini dapat dilihat daripada binaan istana-istana Sultan yang sebahagiannya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Kemakmuran wilayah ini turut menarik kehadiran pendatang-pendatang dari tanah Jawa untuk menginap di wilayah ini bagi bekerja di ladang-ladang. Walaubagaimanapun, amat malang apabila dikalangan Kerajaan-kerajaan Melayu ini tidak membentuk perikatan atau kerjasama sesama mereka, sebaliknya bersaing sesama sendiri.
Pada masa tersebut, keadaan politik di Hindia Timur Belanda berada dalam kacau-bilau. Pengisytiharan kemerdekaan Indonesia secara sepihak oleh Soekarno dicabar keabsahannya oleh penjajah Belanda, memandangkan pengaruh dan kuasa Soekarno pada masa itu hanya meliputi Pulau Jawa sahaja. Kelekaan Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur dengan kemewahan hasil pembangunan ladang-ladang bagi tujuan tanaman menyebabkan mereka tidak menyedari jumlah 'pendatang' yang bekerja di wilayah kekuasaan mereka telah melebihi jumlah penduduk tempatan sendiri.
Raja-raja Melayu menganggap pengisytiharan kemerdekaan Indonesia tidak akan menguntungkan kerajaan masing-masing, kerana ia didominasi oleh kaum Jawa yang berpusat di Pulau Jawa sendiri dan menyokong pemerintahan bercorak Republik. Kerana tersepit antara kebangkitan semangat nasionalisme Indonesia dengan kewajipan untuk mempertahankan Kerajaan dan takhta masing-masing, Raja-raja telah melakukan kesilapan (mungkin kerana terpaksa, tiada pilihan) dengan menghantar surat menyatakan kesetiaan kepada Ratu Belanda.
Tindakan tersebut telah diambil kesempatan oleh para Nasionalis Indonesia yang didominasi etnik Jawa untuk mengecap para Raja-raja Melayu di Sumatera Timur ini sebagai boneka dan talibarut penjajah Belanda. Kemuncak kepada persengketaan ini adalah apabila para pendatang Jawa di Sumatera Timur bertindak dengan menyerang dan membakar kediaman di Raja, merogol, memenggal kepala dan membunuh para kerabat di raja Melayu hanya dalam tempoh satu malam iaitu pada 3 Mac 1946.
Apa yang menarik, selepas kejadian tersebut, kebanyakan rakyat tempatan seboleh mungkin menyembunyikan identiti 'Melayu' mereka bagi mengelakkan diserang oleh para 'Nasionalis Indonesia'. Malahan, sebahagian kaum Batak Karo dan Simalungun yang telah memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu, kembali memakai nama asal Batak mereka dan mengelakkan dilihat sebagai Melayu. Satu persekutuan yang meliputi wilayah Kerajaan-kerajaan Melayu kemudian ditubuh, dengan nama Negara Sumatera Timur, dengan harapan untuk menyertai Republik Indonesia Serikat sebagai salah sebuah negeri di dalamnya. Namun, Negara Sumatera Timur ini mengelak daripada melibatkan Raja-raja Melayu yang seolah-olah telah menjadi satu taboo yang memalukan pada masa tersebut.
Akhirnya? Jangka hayat Negara Sumatera Timur ini juga tidak lama dan kemudian dibubarkan. Republik Indonesia Serikat juga akhirnya dibubarkan dan digantikan sepenuhnya dengan Republik Indonesia yang bercorak negara kesatuan yang berpusat di pulau Jawa. Bagi melemahkan pengaruh Raja-raja Melayu dan kekusaan etnik Melayu (yang dibimbangi lebih cenderung untuk bergabung dengan Malaysia), wilayah Sumatera Timur ini kemudiannya digabungkan dengan wilayah Tapanuli yang didiami majoriti suku kaum Batak untuk menjadi Propinsi Sumatera Utara. Kini, etnik Melayu hanya menjadi kaum minoriti yang tidak berkuasa di negerinya sendiri di dalam Propinsi Sumatera Utara. Para waris Raja-raja Melayu pada hari ini cuba menghidupkan kembali warisan dan takhta Kerajaan mereka yang hilang, namun hanya atas dasar melestarikan kebudayaan tempatan semata-mata, iaitu bagi mengelakkan salah faham daripada Pemerintah Indonesia.
Apa pengajaran yang kita boleh pelajari daripada sejarah Sumatera Timur ini?
1) Sebahagian besar rakyat Indonesia, khususnya yang berketurunan atau berasal di Pulau Jawa, masih mempunyai pandangan skeptikal terhadap Bangsa Melayu. Justeru itu, usahlah hairan apabila setiap kali timbul isu berkaitan Malaysia, mereka terus menjadi beruk dengan terkinja-kinja di jalan raya mahu menganyang negara kita dan menghina Raja-raja kita. Itulah 'warisan' yang masih terpahat di kepala lutut mereka apabila mereka menyamakan situasi negara kita dengan Raja-raja Melayu di Sumatera Timur dahulu.
2) Institusi Kesultanan Melayu (diulangi, institusi! Bukannya mengenai peribadi Raja secara personal) mempunyai kepentingannya yang tersendiri sebagai simbol penyatuan dan pertahanan warisan kebudayaan Bangsa Melayu. Mesti mempunyai sebab tertentu Allah mentakdirkan Bangsa Melayu ini berdiri atas wilayah yang didirikan oleh Raja-raja mereka, bukannya memiliki sempadan dan wilayah tertentu bagi setiap bangsa sebagaimana di Eropah. Cuba lihat mengapa penjajah berusaha bekerjasama dengan pemerintah Thailand dan Filipina menghapuskan institusi di Raja bagi Kesultanan Patani Darul Makrif dan Kesultanan Sulu Darul Jambangan. Hingga kini perjuangan kemerdekaan di selatan Siam dan Moro (selatan Filipina) masih lagi gagal dan berpecah-belah disebabkan kemunculan pelbagai kumpulan pejuang dengan pelbagai ideologi yang berbeza.
3) Pemakaian maksud Kerajaan pada hari ini telah berubah daripada 'Kingdom' kepada 'Government'. Pada hari ini, kemakmuran negara kita dilihat tidak selari dengan keadaan Bangsa Melayu yang berpecah belah. Sebagaimana di Sumatera Timur pada tahun 1940-an dahulu, kita berpecah, bersaing dan tikam-menikam sesama sendiri antara negeri 'Kerajaan BN', negeri 'Kerajaan PAS' dan negeri 'Kerajaan PKR'. Para penduduk dari kalangan keturunan bukan penduduk asal pula telah berani mempertikaikan kedudukan dan hak istimewa Raja-raja dan penduduk Bumiputera. Jika kita tidak berwaspada dan insaf, jangan menyesal pula jika kita mewariskan kepada anak cucu kita sejarah dan keadaan sebagaimana yang berlaku di Sumatera Timur ini.
4) Renungan untuk mereka yang menyokong dasar tak rasmi 'Memelayukan' Bumiputera bukan Melayu serta bukan Bumiputera yang memeluk Islam, supaya menggunapakai nama Melayu dan ditonjolkan kebudayaan Melayu apabila para saudara mualaf baru ini berkahwin, inilah kata-kata kaum Batak Karo dan Simalungun apabila berlaku serangan terhadap kaum Melayu di Sumatera Timur dahulu, "Jika kami boleh 'masuk' Melayu, maka apa pula yang menghalang kami untuk 'keluar' Melayu?". Oleh yang demikian, biarkanlah para saudara baru kita ini dengan nama dan kebudayaan asal kaum mereka apabila telah memeluk Islam, asalkan sahaja ianya tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Bukankah lebih elok ditonjolkan Islam ini milik semua kaum, daripada menonjolkan memeluk Islam seolah-olah 'masuk Melayu', hingga mendatangkan persepsi negatif dikalangan keluarga bukan Islam?
Rujukan :
1) Arifin Omar (1999) "Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu : Runtuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur Pada Tahun 1946" Penerbit Universiti Sains Malaysia.
2) Prof. Anthony Milner (2008) "The Malays" Blackwell
Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera
Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu.
Paling menarik minat penulis, adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi.
Semasa berbincang dengan waris Raja Indragiri, penulis mengusulkan bahawa 'Melaka' yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Penulis memberi hujah, isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri 'Johor' yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang.
Lambang Kesultanan Siak dan Kesultanan Pelalawan berbentuk naga beralih (dua naga saling mengadap). Dikatakan lambang Kesultanan Indragiri juga berbentuk begini sebagaimana yang terdapat di istana asal Indragiri yang telah runtuh ke dalam sungai pada tahun 1960-an.
Kesultanan Siak Sri Indrapura dan Kesultanan Pelalawan pula merupakan dua buah Kerajaan Melayu bersaudara. Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil, yang dibesarkan di Pagaruyung (Minangkabau) dan mendakwa dirinya sebagai pewaris yang sah bagi Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor lama yang telah mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Raja Kecil kemudiannya berjaya menduduki tahkta Johor lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah I, tetapi tidak lama kemudian disingkirkan oleh bangsawan Bugis sebelum berundur ke Siak dan mendirikan Kerajaan baru. Kesultanan Pelalawan pula didirikan pada awal abad ke-19 oleh Syarif Abdul Rahman, saudara kepada Sultan Ali, Raja Siak. Baginda telah mengambil alih kedudukan Pelalawan dan menjadi penguasa di kawasan tersebut, dengan mendapat perkenan daripada Sultan Siak dan diakui oleh penjajah Belanda.
Kesultanan Lingga pula wujud selepas perpecahan empayar Johor lama yang pada asalnya merangkumi Negeri Pahang moden, Johor moden, pulau Singapura, serta kepulauan Riau, tetapi telah berpecah kesan daripada perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824. Putera tertua kepada Sultan Mahmud Syah III dari empayar Johor lama, iaitu Tengku Hussein dilantik menjadi Raja Johor dengan berpusat di Singapura yang di bawah pengaruh Inggeris, sementara kekanda tirinya, Tengku Abdul Rahman pula yang sebelum itu mewarisi takhta Johor lama, menjadi Raja Lingga yang menguasai kepulauan Riau yang di bawah pengaruh Belanda.
Menjelang fasa kemerdekaan Republik Indonesia, hanya tiga buah negeri sahaja yang masih diperintah oleh Raja-raja Melayu iaitu Siak, Pelalawan dan Indragiri. Walaubagaimanapun, berbeza dengan pendirian Raja-raja Melayu di Sumatera Timur yang masih berkeras mempertahankan kuasa dan negeri mereka, Raja-raja Siak, Pelalawan dan Indragiri pula bersedia untuk turun daripada takhta dan menyerahkan kekuasaan mereka kepada pihak Republik yang berpusat di Jakarta. Sejarah kemudian telah mencatatkan nasib dan tragedi yang menimpa Raja-raja Melayu serta kerabat mereka di Sumatera Timur.
Pada hari ini, para pewaris dan kerabat Kesultanan Melayu di wilayah tengah dan selatan Sumatera juga tidak ketinggalan untuk membangunkan kembali institusi Raja Melayu untuk melestarikan warisan dan kebudayaan negeri mereka. Terdapat sebilangan dari mereka yang sangat aktif dengan menyertai Festival-festival Keraton yang diadakan di Indonesia.
Tragedi 3 Mac 1946 – 'Ketuanan Rakyat' Yang Menjadi Detik Hitam Sejarah Melayu. Keturunan Raja Dibunuh Oleh Pakatan Komunis Di Sumatera
Apa yang berlaku kepada Kejatuhan dan Penghapusan Tamadun Kesultanan Melayu Sumatera yang dibunuh dan dihapuskan dengan sekejam kejamnya oleh Parti Komunis Indonesia 66 tahun yang silam cuba dicetuskan kembali di Malaysia atau Tanah Melayu dengan menggunakan Modus Operandi oleh Parti Komunis Indonesia sewaktu dahulu atas nama dan laungan “Ketuanan Rakyat” yang cuba dibawa dan dimainkan oleh Dajjal Melayu berhatikan Yahudi.
“Tragedi sedih pembunuhan Sultan dan kerabat DiRaja atas nama Kuasa Rakyat… jangan ia berulang di Malaysia…..”
Keturunan Raja Dibunuh oleh Pakatan Komunis di Indonesia 66 Tahun yang Lampau. Slogan “Ketuanan Rakyat” yang diagungkan..
Tragedi 3 Mac 1946. 'Ketuanan Rakyat' Yang Menjadi Detik Hitam Sejarah Melayu
66 tahun tidak lama. Adakah kita telah lupa? Dua bulan sebelum UMNO ditubuhkan di Istana Johor, lima sultan di lima negeri Melayu di Sumatera Timur telah dibunuh dengan kejam. Beribu-ribu orang kerabat raja turut dibunuh kejam.
Jam 12 malam 3 Mac 1946 merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. Ia juga merupakan penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia.
Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan pendatang luar.
Peristiwa bermula menjelang tahun 1946 di mana keadaan suhu politik di Sumatera Timur menjadi panas apabila kumpulan pro-komunis mula menguasai partai politik dan juga membentuk askar bersenjata di antaranya Laskar Buruh atau Parti Komunis Indonesia.
Akibat jarak dan kegagalan Sukarno berhubungan dengan sultan-sultan Melayu di Sumatera bagi mendapatkan kepastian mereka dalam pernyataan sokongan kemerdekaan dari Belanda, Timbalan Gabenor Sumatera yang dilantik, Amir Syarifuddin (salah seorang pro-komunis) tiba di Serdang dalam negeri Asahan dari pulau Jawa dan menghasut para penyokong komunis supaya menghapuskan kuasa Sultan dan bangsawan di istana mereka di Serdang. Dia merupakan seorang penulis yang merupakan redaksi majalah Pemoeda Soematra.
Secara diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. Mereka kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu untuk menghasut rakyat dengan laungan 'Daulat Rakyat' bagi melawan laungan 'Daulat Tuanku'. Selain itu, isu bahawa Raja-Raja Melayu ini mempunyai hubungan baik dengan dengan Belanda dimainkan selain kononnya pihak istana memeras dan menindas rakyat.
Muslihat ini dilakukan setelah Gabenor Sumatera yang dilantik, Tengku Muhammad Hassan beserta rombongan yang 7 buah kereta , bertolak dari Medan pada 6 Februari 1946 melalui Brastagi dan Sumatera Tengah menuju ke Sumatera Selatan, dan mengikut rancangan, akan kembali ke Medan pada 22 Mac 1946.
3 Mac 1946, tepat jam 12 malam secara serentak, orang ramai yang kebanyakan rakyat pendatang, telah dipimpin oleh orang-orang komunis kiri PKI dan mengajak bersama-sama mereka PNI dan Pesindo, menyerbu istana dan pejabat kerajaan Melayu dan mengumumkan bahawa kerajaan Melayu telah dihapuskan oleh rakyat Indonesia.
Pembunuhan terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai pembunuhan sadis yang lain, di lakukan oleh orang ramai yang pro-komunis yang dipimpin Parti Komunis Indonesia.
Penyerbuan itu merupakan tragedi buat Sultan Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di negeri Panai dan Tengku Mustafa gelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai, Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji Muhammad Syah di Labuhan Batu. Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang terpengaruh dengan dakyah komunis.
Hampir separuh penduduk negeri-negeri ini terdiri dari kaum pendatang yang didatangkan sebagai kuli di ladang-ladang.
Di tempat lain, istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai diserbu dan dirompak, di mana kerabat raja-raja Melayu Langkat ditangkap dan sebahagian besar dibunuh dengan kejam termasuk sasterawan Indonesia yang terkenal, Tengku Amir Hamzah.
Lebih kejam, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa dan yang lebih memilukan lagi pemerkosaan dilakukan di depan mata baginda Sultan Langkat, dan putera mahkota yang masih muda hilang entah ke mana. Kekejaman ini dilakukan oleh seorang pemimpin PKI bernama Marwan dan pengikut-pengikutnya.
Kesultanan Langkat adalah kesultanan paling kaya dan mewah di Sumatera kerana mempunyai hasil petroleum dan jika istana Sultan Langkat yang hangus dibakar itu masih berdiri, ia merupakan khazanah yang tinggi nilainya untuk orang Melayu sedunia.
Kerabat-kerabat lelaki di negeri Asahan dibunuh kesemuanya termasuk isteri Tengku Musa dan anaknya. Dalam masa beberapa hari, 140 orang yang dikenalpasti sebagai kerabat raja yang memakai nama Tengku, Wan dan Raja mati dibunuh dengan kejam di Asahan sahaja.
Mereka kemudian menangkap semua kerabat-kerabat diraja Melayu di beberapa daerah terdiri dari perempuan dan anak-anak dan dibawa ke kem tahanan di Simalungun dan Tanah Karo, disiksa, dihina dan dibunuh.
Indonesia pada waktu ini seolah-olah menyokong kekejaman ini sehinggakan dua generasi orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka. Mereka takut mengaku Melayu, takut memakai baju Melayu dan menambah gelaran Batak di depan nama mereka supaya boleh bersekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan gelaran Tengku atau Wan karena takut dicaci sebagai kerabat raja.
Akhirnya, selepas 19 tahun, pada 30 September 1965, terjadilah rampasan kuasa oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia pimpinan Jenderal Suharto yang bertindak memusnahkan Parti Komunis Indonesia. Puak pro-komunis Indonesia menerima nasib yang dianggap sebagai balasan kepada apa yang telah mereka lakukan ke atas Sultan-sultan Melayu di Sumatera.
Hampir 2 juta puak pro-komunis Indonesia telah dibunuh oleh tentera Indonesia dan sebahagian besar pemimpin Parti Komunis Indonesia di Sumatera Timur terbabit mencetus 'Revolusi Sosial 1946′ di Sumatera Timur dengan membunuh para Sultan dan kerabat diraja serta merompak istana-istana ditangkap dan dibunuh oleh tentera dan juga rakyat.
Sinar bagi orang Melayu di Sumatera Timur kembali pada tahun 1971 apabila pemimpin masyarakat Melayu Sumatera Timur yang dilindungi oleh Panglima Komando Wilayah Sumatera, Leftenan Jenderal Ahmad Tahir, telah mengumpul dan menyatukan sebanyak 17 organisasi masyarakat Melayu dan membentuk payung organisasi bernama MAJLIS ADAT BUDAYA MELAYU INDONESIA (MABMI) .
Sehingga kini, adat budaya Melayu masih banyak yang hilang akibat terputusnya dua generasi pada masa mula revolusi sosial dan sepanjang zaman pemerintahan Sukarno. Walaupun kini telah ada yang berusaha menggali khazanah budaya Melayu Sumatera Timur tetapi itu belum cukup tanpa bantuan dari orang orang Melayu di seluruh penjuru dunia.
Para pecinta sejarah Indonesia kini menyesali keterlanjuran masyarakat yang mudah ditipu oleh pihak komunis yang kononnya pro-rakyat yang meniup fitnah demi merampas kuasa pemerintahan dengan jalan mudah.
Sumber: (Kamarul Arif) . [3]
Kutaringin : Satu-satunya Kerajaan Melayu di Kalimantan Tengah[4]
Di Propinsi Kalimantan Tengah, Indonesia, pernah berdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadang kala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin. Kerajaan ini merupakan satu satu Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia, iaitu sejak abad ke-16 hinggalah abad ke-19, dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah. Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal, iaitu dalam kitab 'Negarakertagama', iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada wilayah Tanjung Nagara yang tunduk kepada empayar Majapahit.
Pada asalnya, wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya Sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di wilayah Kutaringin. Bahkan, para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja pertamanya, iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke-4, iaitu Sultan Mustain Billlah. Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. Disebabkan itulah, Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelar Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke-7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke-18.
Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut. Walaubagaimanapun, Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula di dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten (seperti Bahagian di Sabah dan Sarawak) di dalam Propinsi Kalimantan Tengah.
Dengan berakhirnya kedaulatan Kerajaan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan Sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum itu sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.
Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin, termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka. Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke-15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.
Kerajaan & Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur
Di Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia, pernah berdiri beberapa buah negeri Melayu, yang terdiri daripada Kesultanan Bulungan, Kesultanan Berau (kemudian berpecah kepada dua iaitu Kesultanan Gunung Tabur dan Kesultanan Sambaliung), Kerajaan Kutai Kertanegara Ing Martadipura dan Kesultanan Pasir (nama lainnya Balengkong / Sadurangas). Daripada keseluruhan Kesultanan Melayu terbabit, terdapat dua buah Kesultanan yang paling menarik minat penulis, iaitu Kesultanan Kutai dan Kesultanan Bulungan.
Kesultanan Kutai dianggap oleh sejarahwan Indonesia sebagai Kerajaan (Kingdom) tertua yang pernah wujud di Indonesia. Perkara ini dibuktikan dengan penemuan Yupa / Prasasti yang dikatakan berasal dari abad ke-4 Masihi. Melalui Yupa tersebut, dapat diketahui bahawa Raja Kutai ketika itu bernama Mulawarman, yang merupakan anak kepada Aswawarman dan cucu kepada Kundungga.
Bagi Kesultanan Bulungan pula, namanya bergema di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila pihak Republik Indonesia menjadikannya sebagai hujah apabila mendakwa Pulau Sipadan dan Ligitan yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia merupakan sebahagian daripada wilayah taklukan Kesultanan Bulungan, yang kini berstatus Kabupaten Bulungan di dalam Republik Indonesia. Ironinya, sewaktu era kemerdekaan Indonesia dahulu, tentera-tentera Indonesia jugalah yang telah menjarah dan membakar istana serta membunuh sebahagian kerabat Di Raja Bulungan pada 23-24 Julai 1964, dan seterusnya menghapuskan sama sekali kuasa dan kedaulatan Kesultanan Bulungan.
Apa pun, jika ditanya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sudah tentu masing-masing akan mengeluarkan hujah bagi menyokong dakwaan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan adalah dibawah kedaulatan negara masing-masing. Bagi penulis pula, Kerajaan Malaysia dan Pemerintah Indonesia telah sama-sama telah bersetuju untuk membawa pertikaian ini ke ICJ dan kedua-dua belah pihak telah diberi peluang dan keadilan yang sama rata untuk mengemukakan hujah masing-masing. Dan ICJ telah memutuskan bahawa kedua-dua pulau terbabit adalah milik Malaysia. Keputusan yang sudah tentu pahit untuk diterima oleh Indonesia, sebagaimana peritnya Malaysia apabila ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Apapun, keputusan ICJ ini perlu dihormati oleh semua pihak yang terlibat.
Sebagaimana di Kalimantan Barat, Kesultanan-kesultanan Melayu di Kalimantan Timur juga telah bergabung selepas pasca Perang Dunia ke-2 untuk membentuk Federasi Kalimantan Timur, sebagai salah satu komponen dalam Republik Indonesia Serikat. Walaubagaimanapun, pada awal tahun 1960, akhirnya kedaulatan kesemua Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur ini dihapuskan dan para Raja dan Kerabatnya kemudian menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Walaubagaimanapun, sebagaimana pewaris Raja-raja Melayu di Sumatera Timur dan Kalimantan Barat, pewaris Raja-raja Melayu di Kalimantan Timur juga pada hari ini telah kembali melestarikan takhta dan budaya Kesultanan masing-masing, walaupun pada sesetengah Kesultanan seperti Bulungan dan Pasir, masih terdapat pertikaian tentang siapa yang paling berhak untuk ditabalkan sebagai Sultan yang akan berperanan menjadi pemangku Adat.
Terdapat sesetengah Kerabat Di Raja di Kalimantan Timur seperti kerabat Kutai dan Pasir menggunapakai gelaran Aji (kadang kala dieja juga sebagai Adji, Adjie dan sebagainya). Ia merupakan gelaran kehormat Di Raja sebagaimana gelaran Tengku, Pangeran, Gusti dan sebagainya. Ia tidak sama dengan gelaran 'Haji' yang digunakan apabila seseorang individu telah sempurna menunaikan rukun fardhu Haji di Mekah.
Nota :
Kebangkitan Raja-raja Melayu di Kalimantan Barat[5]
Tidak banyak perkara menarik yang penulis perolehi semasa melawat Kalimantan Barat (Kalbar) sebelum ini, mungkin kerana tempoh waktu lawatan yang terhad. Penulis telah memilih untuk melawat Kota Pontianak, yang merupakan ibukota Provinsi Kalbar, merangkap pusat salah satu Kesultanan Melayu yang besar di kawasan ini satu ketika dahulu. Terasa jelas perbezaan taraf pembangunan dan kemudahan fasiliti sebaik sahaja bas yang dinaiki melepasi Biawak di sebelah Sarawak dan memasuki Entikong di sebelah Indonesia. Keadaan jalan yang dilalui agak teruk hinggakan tayar bas yang dinaiki pancit beberapa kali menyebabkan penulis tiba di Kota Pontianak semasa hari sudah mulai gelap sedangkan penulis bertolak pada awal pagi!
Keesokan harinya, penulis tidak membuang masa untuk pergi ke Keraton Kadriyah, yang merupakan Istana peninggalan Kesultanan Pontianak. Memudahkan kerja penulis apabila pemandu yang membawa penulis mempunyai hujung pangkal nama Al-Kadri, yang kemudian mengesahkan kepada penulis bahawa beliau sememangnya berketurunan Sultan Pontianak. Sambil berjalan, penulis tidak melepaskan peluang untuk berbual dan bertukar maklumat dengannya mengenai pelbagai perkara terutamanya berkenaan dengan kewujudan Kerajaan (Kingdom) dan Kesultanan Melayu yang pernah wujud di bumi Kalbar ini satu ketika dahulu.
Terdapat hampir 12 buah Kerajaan/Kesultanan Melayu yang pernah berdiri di wilayah ini iaitu Kesultanan Sambas, Kesultanan Pontianak, Kerajaan Mempawah, Kerajaan Landak, Kerajaan Kubu, Kerajaan Matan, Kerajaan Sukadana, Kerajaan Simpang, Kerajaan Sanggau, Kerajaan Sekadau, Kerajaan Tayan, dan Kerajaan Sintang. Berbeza dengan Raja-raja Melayu di Sumatera yang lebih dekat budayanya dengan semenanjung Tanah Melayu, Raja-raja Melayu di Kalbar ini mempunyai pengaruh kuat budaya Jawa dan Dayak tempatan. Justeru itulah, selain daripada gelaran Sultan dan Yang Dipertuan Besar, ramai Raja-raja di sini memakai gelaran Panembahan, sementara kerabat di Raja yang lain tidak memakai gelaran Tengku/Tunku sebaliknya menggunakan gelaran Gusti dan Pangeran (atau Pengiran sebagaimana pemakaian Kerabat Di Raja Melayu di Brunei Darussalam).
Walaubagaimanapun, kesemua Raja-raja Melayu di sini telah dibunuh oleh tentera penjajah Jepun sekitar tahun 1944 dalam satu peristiwa menyedihkan yang dikenali sebagai Tragedi Mandor Berdarah. Selepas tamat Perang Dunia Ke-2, Raja-raja Melayu di Kalbar telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah persekutuan yang dikenali dengan nama “Daerah Istimewa Kalimantan Barat”, yang diketuai oleh Sultan Pontianak ketika itu, iaitu Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie II. Walaubagaimanapun, berlaku konflik antara Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie dengan tokoh-tokoh kemerdekaan Indonesia yang berpusat di Jawa. Sebabnya hanya satu sahaja, Indonesia bertegas mahukan sebuah negara yang bercorak Kesatuan, sedangkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie memperjuangkan sebuah negara bercorak Persekutuan (Federalisma), sebagaimana di Malaysia.
Sambil berjalan-jalan di sekitar Keraton, penulis terpaku pada satu bingkai kaca yang memaparkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie sebagai pencipta lambang Garuda, iaitu jata negara Indonesia yang masih digunakan sehingga kini. Kerabat di Raja di Keraton tersebut hanya tersenyum sahaja memandang penulis, namun penulis dapat menyelami perasaan mereka yang mahukan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie diletakkan pada tempat yang sewajarnya, biarpun bukan sebagai Pahlawan Nasional, tetapi sekurang-kurangnya sebagai salah seorang tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan negara Indonesia. Namun begitu, 'dosa' yang membelenggu Almarhum Sultan ini adalah kerana dia memperjuangkan sebuah negara Persekutuan, hingga membayangi sumbangan besarnya sehingga kini.
Penulis juga dimaklumkan bahawa kini waris-waris Keluarga di Raja di Kalbar kini telah menghidupkan semula institusi Kerajaan/Kesultanan masing-masing. Sebagaimana di Sumatera Timur, pengwujudan semula Kerajaan/Kesultanan ini bukannya untuk menghidupkan semua sistem monarki, tetapi bagi melestarikan warisan sejarah dan budaya setempat.
Oleh kerana waktu yang suntuk, penulis terpaksa melupakan hasrat untuk bertemu dengan Sultan Pontianak. Sambil melihat persekitaran Keraton Kadriah yang usang dengan beberapa ekor kambing berkeliaran di laman Istana, penulis berasa bersyukur dan betapa bertuahnya Raja-raja Melayu di negara kita masih didokong utuh oleh rakyat biarpun kekuasaannya beberapa kali dicabar oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk melenyapkan kuasa politik Melayu-Islam.
Dalam perjalanan pulang, penulis kembali menyambung perbualan dengan pemandu. Berkenaan dengan pelbagai isu dari kebanjiran pendatang dari pulau Jawa hingga pernah mencetuskan rusuhan antara kaum Melayu dan Dayak dengan masyarakat Madura, pengusaan ekonomi oleh kaum Tionghua walaupun bilangan mereka yang minoriti, hinggalah kepada kewujudan semula Sultan yang kini hanyalah sebagai simbol tanpa kuasa. Dua perkara tersebut sudah pernah berlaku di negara kita, dan penulis berharap perkara terakhir yang disebutkan tidak terjadi kerana jika runtuh Institusi Raja-raja Melayu di negara kita, akan lenyap jugalah warisan kuasa politik Bumiputera di negara kita.
Nota :
1. Hantu Pontianak di Indonesia di panggil sebagai Kuntilanak @ Sundel Bolong. Tetapi nama Kesultanan Pontianak memang diambil daripada nama hantu tersebut yang pernah ada di kawasan ini sewaktu negeri ini dibuka.
2. 'Gusti' adalah satu gelaran kehormat yang digunapakai oleh Kerabat Di Raja di Indonesia, sebagaimana gelaran 'Tengku/Tunku' di negara kita. 'Gusti' ini bukanlah seperti 'World Wrestling Entertainment'. Sukan 'Wrestling' di Indonesia dipanggil 'Gulat'.
Sultan Sarawak Darul Hana[6]
Lebih kurang 200 tahun sebelum Dinasti Brooke menjadi Rajah Putih di Sarawak, Sarawak asalnya berada di bawah wilayah kawalan Kesultanan Brunei. Tidak banyak yang diketahui bagaimana Sarawak ditadbir oleh Kesultanan Brunei pada masa tersebut, tetapi berkemungkinan seorang yang setaraf dengan Gabenor pada hari ini diletakkan di kawasan tersebut. Sarawak pada masa lalu tidaklah seluas seperti pada hari ini, tetapi hanya meliputi lebih kurang sekitar wilayah Kuching dan Santubong sahaja.
Apabila Paduka Sri Sultan Muhammad Hassan ibni al-Marhum Sultan Saif ul-Rijal Nur ul-Alam , Sultan Brunei ke-sembilan yang memerintah pada tahun 1582 hingga 1598 mangkat, takhta pemerintaha telah jatuh kepada Putera sulungnya yang kemudian bergelar Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil ul-Akbar ibni al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Sultan Abdul Jalilul Akbar mempunyai seorang adinda (adik) bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Tengah.
Menurut sumber lisan, Pengiran Muda Tengah turut berkeinginan untuk menjadi Sultan Brunei. Baginda membantah dengan menyatakan abangnya lahir ketika ayahandanya belum menjadi Putera Mahkota, sedangkan dia lahir ketika Sultan Muhammad Hassan dilantik sebagai Putera Mahkota. Pengiran Muda Tengah berpendapat, baginda lebih layak untuk menjadi Sultan berbanding abangnya. Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah seorang yang bijak. Dia memahami maksud adindanya itu dan cuba memenuhi keinginan adindanya. Jalan penyelesaian untuk Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah dengan melantik Pengiran Muda Tengah sebagai Sultan di tempat lain. Dengan itu, Pengiran Muda Tengah telah diangkat sebagai Sultan Sarawak, kerana Sarawak ketika itu merupakan salah satu wilayah Brunei.
Menurut Salsilah Raja-Raja Brunei, Pengiran Muda Tengah berkenan menerima perlantikan tersebut dan baginda membuat persiapan untuk pergi ke Sarawak dengan ditemani oleh lebih daripada 1,000 perwira dari kaum Sakai, Kedayan and Pulau Bunut. Beberapa golongan bangsawan turut berangkat bersamanya untuk membantu baginda mengurus sebuah negeri baru. Kebanyakan daripada mereka merupakan nenek moyang kepada masyarakat Melayu di Sarawak pada hari ini.
Di Sarawak, Sultan baru dan anak buahnya mula membina sebuah istana dan benteng untuk mempertahankan istananya. Sultan Tengah kemudian melantik orang-orang besarnya. Antaranya ialah Patinggi Datuk Seri Setia, Indera Wangsa Shahbandar Datu, Datu Amar Setia Di-raja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa. Setelah semuanya selesai, Sultan Tengah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan Sarawak yang pertama. Menurut Sejarah Sambas, Sultan Tengah juga dikenali dengan nama Sultan Abdul Jalil. Dikatakan pada masa inilah negeri ini digelar sebagai Sarawak Darul Hana.
Sekitar tahun 1599, Sultan Tengah melawat Pahang yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada taklukan Kerajaan Johor, untuk melawat Raja Bonda yang merupakan ibu saudara Sultan Tengah yang telah berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah. Semasa tinggal di sana, lama tinggal, Sultan Tengah telah diminta untuk menari. Tetapi semasa menari, saputangan teman tarian baginda hampir memukul wajah baginda. Baginda menjadi sangat marah hingga menyebabkan baginda menampar pasangannya. Insiden ini menyebabkan Sultan Johor menjadi sangat kecewa dan Sultan Tengah disarankan untuk meninggalkan Johor secepat mungkin.
Menurut versi Sejarah Sambas pula, Sultan Tengah terpaksa meninggalkan Johor kerana ia menolak tawaran Raja Bonda untuk mengahwini puteri Sultan Johor yang dikenali sebagai Encik Zohra. Semasa pelayaran untuk kembali ke Sarawak, kapal Sultan Tengah telah dilanda taufan yang menyebabkannya terkandas di Sukadana (Dalam wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia, pada hari ini). Sukadana ketika itu diperintah oleh Penambahan Giri Mustika, Sultan Muhammad Saifuddin, yang baru sahaja memeluk Islam dan dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah. Sultan Tengah turut belajar di bawah Syeikh Syamsuddin selama baginda tinggal di sana. Semasa di Sukadana, Sultan Tengah telah berkahwin dengan salah seorang puteri Sukadana iaitu Puteri Surya Kesuma, yang merupakan adinda Sultan Muhammad Saifuddin.
Sultan Tengah tinggal di Sukadana dan meminta izin untuk membantu menyebarkan ajaran Islam di kawasan tersebut. Diputuskan baginda perlu melaksanakannya di Sungai Sambas. Maka pada sekitar tahun 1600, Sultan Tengah meninggalkan Sukadana melalui Sungai Sambas dengan diiringi 40 buah perahu yang lengkap bersenjata. Di Sungai Sambas, mereka mendarat di Kuala Bangun dan Puteri Surya Kesuma kemudiannya melahirkan seorang putera bernama Radin Sulaiman. Dua putera lain kemudian turut lahir. Putera kedua ini dikenali sebagai Pengiran Badaruddin yang kemudiannya bergelar Pengiran Bendahara Seri Maharaja sementara putera ketiga, Pengiran Abdul Wahab kemudiannya bergelar Pengiran Temenggong Jaya Kesuma.
Sultan Tengah akhirnya tiba di Pekan Lama. Di sana, baginda disambut oleh pemerintah Pekan Lama, Ratu Sepudak, yang menyambutnya mengikut adat istidat dan protokol Di-raja. Sultan Tengah mendapati Ratu Sepudak mengizinkannya untuk menyebarkan Islam di sekitar kawasan tersebut meskipun Ratu Sepudak bukan seorang Muslim. Semasa baginda tinggal di sana, putera sulung Sultan Tengah, Radin Sulaiman telah berkahwin dengan puteri Ratu Sepudak bernama Puteri Mas Ayu Bongsu. Pasangan ini mempunyai seorang putera bernama Radin Bima yang kemudian bergelar Sultan Muhammad Tajuddin.
Ketika Ratu Sepudak mangkat, baginda digantikan oleh Prabu Pengiran Radin Kenchana yang kemudiannya melantik Radin Sulaiman sebagai salah seorang pembesarnya. Dikatakan bahawa Ratu Sepudak mahu menyerahkan takhta kerajaan kepada Sultan Tengah memandangkan baginda mempunyai pengalaman menguruskan negara, tetapi cadangan tersebut telah ditentang oleh keluarga diraja yang lain. Sekitar tahun 1630, Sultan Tengah pergi ke Matan (Dalam wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia, pada hari ini). Di Matan, baginda berkahwin dengan salah seorang Puteri Matan yang kemudian melahirkan Pengiran Mangku Negara. Pengiran Mangku Negara kemudiannya menjadi Sultan Matan.
Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, Sultan Tengah kembali semula ke Sarawak. Setelah kembali ke Sarawak, baginda berhenti di suatu tempat bernama Batu Buaya, di Santubong. Di sanalah baginda dibunuh oleh salah seorang pengikutnya. Ketika berita kematiannya tersebar, Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datuk Temenggong datang ke Santubong untuk menyelesaikan upacara pengebumian mengikut tradisi Di raja Brunei. Dikatakan bahawa baginda mangkat pada tahun 1641, sekitar 10 tahun selepas anakanda baginda, Radin Sulaiman menjadi Sultan Muhammad Saifuddin I di Sambas. Sultan Tengah dimakamkan di Santubong, iaitu pada hari ini di Kampung Batu Buaya. Makam yang dibina berpadanan untuk menandakan kubur tersebut merupakan makam seorang Sultan.
Dengan kemangkatan baginda, Kesultanan Sarawak wujud dan berakhir hanya dengan seorang Sultan sahaja. Tetapi gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan di Sarawak masih kekal hingga ke hari ini.
Wasiat Raja-raja Melayu
Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-duli Yang Maha Mulia sembilan orang Raja-raja Melayu sebagai raja pemerintah dari empat buah "Negeri Melayu Bersekutu" dan lima buah "Negeri Melayu Tidak Bersekutu" memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang berbunyi :
Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kami bersatu padu dan berpegang teguh padanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera. Tujuh perkara itu ialah :
1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara
4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini
5. Kami isytiharkan Islam sebagai agama Pesekutuan
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain
Sila baca dan fahami wasiat di atas tanpa prejudis perkauman dan politik sempit, khususnya kepada segelintir chauvinist yang masih lagi wujud di negara kita selepas hampir setengah abad merdeka.
وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِداً
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.
(Surah Al-Kahf ayat 59[7])
References
- ^ Negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur (ibnurusydi.blogspot.com)
- ^ 11 March 2015 at 03:18 (www.facebook.com)
- ^ Kamarul Arif (www.facebook.com)
- ^ Kutaringin : Satu-satunya Kerajaan Melayu di Kalimantan Tengah (ibnurusydi.blogspot.com)
- ^ Kebangkitan Raja-raja Melayu di Kalimantan Barat (ibnurusydi.blogspot.com)
- ^ Sultan Sarawak Darul Hana (ibnurusydi.blogspot.com)
- ^ Surah Al-Kahf ayat 59 (www.mymasjid.net.my)
















































Di Malaya ketika itu raja2 bersetuju menyerahkan kuasa kepada British dan menjadi kadhi2 sahaja. Melayu dalam bahasa Jawa bermakna lari. Raja2 melayu berarti Raja2 lari....dibuktikan dengan sejarah yang kamu kemukakan...raja melayu menjual singapura pada British. Raja penyamum......
BalasPadamLah nie di Malaysia Bugis jadi PM dan Jawa jadi DPM. Melayu jadi yes man di dalam UMNO......seronoknya....
Padam